Followers: Layan Terus . . .

My LB Adds

19.3.09

Kaunselor sekolah tak wajib daftar lembaga





roha Penulis "SERAMAI 7,294 kaunselor di sekolah rendah dan menengah boleh terus memberikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada pelajar secara sah tanpa perlu mendaftar sebagai kaunselor bertauliah dengan Lembaga Kaunselor.

Timbalan Pengarah (Dasar) Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran, Sulaiman Wak, berkata pihaknya mengambil pendirian berkenaan berdasarkan peruntukan dalam Akta Kaunselor 1998 yang menyatakan bahawa pengamal yang wajib mendaftar adalah mereka yang menerima bayaran terhadap perkhidmatan kaunseling yang dijalankan.



Beliau menjelaskan Guru Bimbingan dan Kaunseling Kementerian Pelajaran tidak termasuk dalam golongan pengamal yang wajib mendaftar kerana mereka adalah guru yang menerima gaji sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dan tidak mengenakan bayaran bagi perkhidmatan yang diberikan kepada pelajar sekolah.

“Kami belum bertemu dengan Lembaga Kaunselor mengenai isu ini. Setakat ini, pendirian Kementerian Pelajaran adalah tidak perlu mendaftar Guru Bimbingan dan Kaunseling berdasarkan peruntukan Klausa 2, Bahagian 1 Akta Kaunselor 1998 yang mentakrifkan kaunselor sebagai seseorang yang mengadakan perkhidmatan kaunseling bagi sesuatu bayaran yang ditetapkan atau apa-apa balasan lain.

“Berpegang kepada klausa ini, tiada sebarang tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling kerana mereka adalah pegawai perkhidmatan pendidikan dan tidak menerima apa-apa bayaran bagi perkhidmatan yang diberikan kepada murid selain gaji bulanan seperti guru lain,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, semalam.
Sebelum ini, Berita Harian melaporkan kenyataan Presiden Lembaga Kaunselor Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Mohd Mansor Abdullah, bahawa lebih 6,000 kaunselor di sekolah seluruh negara berdepan risiko dikenakan tindakan undang-undang jika mereka masih tidak berdaftar sebagai kaunselor bertauliah mengikut Akta Kaunselor 1998, apabila penguatkuasaan berhubung perkara itu dilaksanakan.

Beliau berkata, peruntukan dalam Seksyen 22 serta Seksyen 24(1) Akta Kaunselor 1998 melarang keras individu menjalankan tugas kaunselor jika tidak berdaftar dengan Lembaga Kaunselor serta mendapat Perakuan Amalan yang membolehkannya mengamal perkhidmatan kaunseling.

Jika disabitkan gagal mematuhi peruntukan berkenaan, katanya, kaunselor terbabit boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Kaunseling Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran, Raja Mazlan Raja Shahdan, berkata pihaknya tidak melarang Guru Bimbingan dan Kaunseling daripada mendaftar dengan Lembaga Kaunselor bagi membolehkan mereka mendapat lesen melakukan kerja kaunseling di luar sekolah.
“Namun, guru yang berhasrat berbuat demikian dinasihatkan agar tidak mengabaikan tugas mereka di sekolah serta membuat permohonan kepada Kementerian Pelajaran untuk memberi perkhidmatan kaunseling di luar sekolah bagi memudahkan kami membuat pemantauan,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan Lembaga Kaunselor bahawa tiada peluang kenaikan pangkat diberikan kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling.

“Ramai di kalangan Guru Bimbingan dan Kaunseling kini menikmati kenaikan pangkat antaranya sebagai Guru Ketua Bidang, Guru Penolong Kanan (Penyelia Petang), Pengetua, Guru Besar, Ketua Unit/ Penolong Pengarah di Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pelajaran.

“Terbaru, Kementerian Pelajaran mengeluarkan arahan untuk Guru Bimbingan dan Kaunseling mengisi borang Guru Kaunseling Cemerlang untuk mempertimbang mereka ke jawatan berkenaan dengan kenaikan gaji DG dan gaji sama seperti dinikmati guru cemerlang lain,” katanya.
Sumber : Rosniza Mohd Taha- Berita Harian, 18 Januari 2008

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...