Followers: Layan Terus . . .

My LB Adds

23.3.09

RazakSAT tiba di tapak pelancaran






SHAH ALAM: RazakSAT, satelit kedua Malaysia yang bakal dilancarkan 21 April ini selamat tiba di Pulau Omelek, tapak pelancaran roket yang akan membawa satelit itu ke orbitnya, semalam, kata Ketua Pegawai Eksekutif Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB) Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.

RazakSAT yang dihantar menggunakan pesawat Hercules C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berlepas dari Pangkalan Udara Subang Sabtu lalu dan singgah di Kota Kinabalu dan Guam sebelum meneruskan penerbangan ke Pulau Kwajalein di Republik Kepulauan Marshalls di Lautan Pasifik yang memakan masa 20 jam. Dr Ahmad Sabirin berkata pesawat itu sepatutnya tiba di Kwajalien pada 9.30 pagi waktu tempatan tetapi disebabkan urusan imigresen, RazakSAT tiba di sana pada jam 11.30 pagi.

Satelit yang dibangunkan oleh ATSB itu kemudiannya dihantar ke Pulau Omelek menggunakan kapal pengangkut Tentera Laut Amerika Syarikat "Great Bridge" dalam perjalanan yang mengambil masa tiga jam, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini bagi memberikan perkembangan terkini mengenai RazakSAT.

Katanya berlaku sedikit kelewatan penerbangan dari Guam ke Kwajalein disebabkan urusan imigresen memandangkan Guam dan kawasan perairannya merupakan kawasan strategik ketenteraan Amerika Syarikat di Lautan Pasifik.

Beliau berkata kumpulan enam jurutera yang turut berada dalam pesawat yang membawa RazakSAT akan memulakan tugas mereka hari ini memunggah peralatan sokongan satelit itu dan membuka kontena yang memuatkan satelit itu manakala esok mereka akan melakukan ujian ke atas peralatan itu dan RazakSAT. Pasukan ATSB di Omelek akan memastikan persediaan yang rapi sebelum pelancaran dibuat.
Dr Ahmad Sabirin berkata beliau sendiri akan ke Omelek pada 12 Mac ini di mana pada keesokan harinya akan diadakan ujian pelancaran ke atas roket yang bakal membawa satelit itu ke orbit.

Pada 31 Mac, katanya dua satelit kecil Innosat dan CubeSat akan dipasangkan pada kapsul yang membawa RazakSAT untuk dilancarkan serentak dengan satelit kedua negara itu.
CubeSAT ialah satelit kecil yang dibangunkan oleh ATSB ,manakala InnoSAT ialah satelit yang dibangunkan oleh Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan.

Kapsul ialah bahagian muncung roket pelancar itu di mana satelit-satelit itu akan ditempatkan dan ia akan terpisah daripada badan roket yang membawanya apabila masuk ruangan angkasa.
Dr Ahmad Sabirin berkata RazakSAT dan peralatan sokongannya turut diinsuranskan dengan nilai US$8 juta (RM28.8 juta) memandangkan risiko aktiviti pelancaran roket untuk menghantar satelit itu adalah tinggi.

Beliau berkata RazakSAT yang mempunyai kamera resolusi tinggi dan boleh mengambil gambar dengan fokusan sehampir 2.5 meter dari udara akan digunakan bagi tujuan keamanan seperti memantau sumber hutan dan hidupan liar serta aktiviti pertanian negara.

RazakSAT dibangunkan oleh ATSB, sebuah syarikat milik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sejak tahun 2000 dan siap pada 2004. Ia kemudiannya menjalani proses ujian dan pelarasan selama tiga tahun dari 2005 sehingga tahun lalu sebelum sedia untuk dilepaskan ke orbit April ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...