Followers: Layan Terus . . .

My LB Adds

25.11.09

Pewarna Rambut




Pengenalan

Apakah pewarna rambut?

  • Pewarna rambut digunakan untuk menukarkan warna rambut.
  • Pewarna rambut boleh dibuat daripada bahan semulajadi atau terbitan sintetik.
  • Pewarna rambut yang didapati di Malaysia adalah produk yang telah didaftarkan dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (www.bpfk.gov.my) yang mempunyai nombor pendaftaran 'NOT' dan diikuti dengan 8 digit nombor dan abjad 'K'; contohnya NOT08154562K.

Bagaimana pewarna rambut bertindak?

  1. Pewarna rambut sintetik
    • Ia adalah pewarna rambut berasaskan bahan kimia yang akan membuka lapisan kutikel di lapisan luar helaian rambut dan akan menyerap masuk ke dalam helaian rambut.
    • Lapisan kutikel ini akan tertutup semula apabila proses mewarna rambut selesai.
    • Sekiranya proses mewarnakan rambut dilakukan terlalu kerap, kutikal rambut tidak akan tertutup dengan sepenuhnya dan ini akan menyebabkan helaian rambut menjadi mudah putus.
  2. Pewarna rambut semulajadi
    • Pewarna rambut berasaskan bahan semulajadi akan menyelaputi lapisan luar helaian rambut dan tidak menembusi masuk helaian rambut.
    • Warna yang terhasil adalah kombinasi warna asal rambut dan pewarna yang digunakan.

Rawatan

Secara asasnya terdapat tiga jenis pewarna rambut seperti yang tersenarai di bawah.

  1. Pewarna rambut sementara
    • Ia didapati dalam bentuk gel, 'mousses', semburan dan bilasan.
    • Ia hanya menyelaputi bahagian luar helaian rambut.
    • Ia akan hilang apabila rambut dicuci dengan menggunakan syampu. Oleh itu, pewarna rambut perlu digunakan semula selepas cucian rambut dilakukan.
  2. Pewarna rambut separa kekal
    • Ia didapati dalam bentuk cecair, gel atau aerosol.
    • Ia terdiri daripada molekul yang lebih kecil daripada pewarna rambut sementara.
    • Ia akan menembus masuk dan melekat ke dalam helaian rambut.
    • Pada peringkat awal, ia perlu digunakan berkali-kali sehingga memperolehi warna yang diingini. Selepas itu, kekerapan penggunaannya akan berkurangan bagi mengekalkan warnanya.
    • Warna pada rambut tidak mudah hilang atau luntur apabila rambut dicuci.
  3. Pewarna rambut kekal
    • Ia memerlukan proses kerja yang banyak untuk mewarnakannya tetapi warna rambut akan kekal lama sehingga rambut baru tumbuh.
    • Ia mengandungi hidrogen peroksida; oleh itu ia menutupi warna ubat/asal rambut dengan lebih berkesan dan boleh digunakan untuk mencerahkan warna rambut tidak seperti pewarna rambut yang lain.
    • Ia menyerap jauh ke dalam helaian rambut disebabkan oleh beberapa siri reaksi kimia semasa pewarnaan rambut dilakukan.
    • Warna rambut tidak akan hilang apabila rambut dicuci dengan menggunakan syampu. Walaubagaimanapun, warna akan berkurangan sekiranya rambut dicuci berkali-kali.

Bahan di dalam Pewarna Rambut

Secara amnya ia terdiri daripada sumber tumbuhan seperti inai, atau terbitan sintetik seperti arang tar atau petroleum. Walaubagaimanapun pemilihan pewarna rambut perlu dibuat dengan berhati-hati kerana terdapat pewarna rambut yang mengandungi bahan yang memudaratkan pengguna.

Maklumat Am

Perkara Yang Perlu dan Tidak Perlu Dilakukan

  1. Perkara Yang Perlu Dilakukan
    • Minta pendapat pendandan rambut berkenaan produk yang bersesuaian dengan anda.
    • Pilihlah pewarna rambut sementara kerana ia kurang menyebabkan kerosakan kepada kutikal rambut.
    • Periksa nombor pendaftaran produk dan juga nombor kelompok produk, tarikh pengilangan dan tarikh luput.
    • Periksa bahan yang digunakan dalam pewarna rambut sekiranya ia mengandungi bahan yang boleh memudaratkan atau menyebabkan alahan.
    • Elakkan mengguna produk yang mengandungi *paraphenylenediamine (PPD), p - Aminophenol or Lawsone. Bahan tersebut dilaporkan pernah menyebabkan keradangan kulit (dari lepuh sehingga lecur akibat bahan kimia). Bahan ini juga dilaporkan boleh menyebabkan kanser Walaubagaimanapun tiada data yang mencukupi untuk menghubungkaitkan pewarna rambut yang digunakan dengan kanser.
    • Lakukan ujian awal untuk mengesan alahan.
    • Gunakan pewarna rambut mengikut arahan yang betul.
    • Gunakan sarung tangan apabila mewarna rambut.
    • Pastikan pewarna rambut tidak terkena kulit.
    • Bilas kulit kepala sepenuhnya dengan air selepas pewarna rambut digunakan.
    • Perhatikan sekiranya terdapat kesan sampingan akibat penggunaan pewarna rambut seperti kulit kepala menjadi kering, keguguran rambut atau kerengsaan kulit.
    • Laporkan sebarang kejadian kesan tidak diingini yang melibatkan penggunaan pewarna rambut kepada pihak berkuasa dan tunjukkan produk pewarna rambut yang dimaksudkan.
    • Sila berjumpa doktor sekiranya terdapat kesan yang tidak diingini selepas menggunakan pewarna rambut.

  2. Tidak Perlu Dilakukan
    • Jangan guna pewarna rambut pada bahagian selain daripada yang diarahkan seperti bulu kening atau bulu mata kerana ia boleh menyebabkan bengkak, keradangan dan mudah mengalami jangkitan.
    • Jangan membiarkan pewarna rambut yang digunakan pada rambut dan kepala lebih lama daripada yang diarahkan.
    • Jangan mencampurkan pewarna rambut dengan bahan kimia atau produk semulajadi lain di dalam pewarnaan rambut
    • Jangan simpan atau guna sebarang pewarna rambut yang melebihi tempoh tarikh luput.
    • Jangan menggunakan pewarna rambut kekal dengan kerap kerana ia akan menyebabkan kerosakan pada protin keratin rambut.

Kaedah Penyimpanan

  • Simpan pewarna rambut jauh daripada kanak-kanak bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku seperti termakan pewarna rambut atau kejadian lain.
  • Simpan pewarna rambut di tempat yang sejuk dan kering.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...