Followers: Layan Terus . . .

My LB Adds

26.11.09

Refleksologi Kaedah Perubatan Kuno



Refleksologi Kaedah Perubatan Kuno

Urut
boleh buat orang ketagih. Ini dakwaan beberapa teman yang menjadi
perangsang perkembangan industri kesihatan tradisional, termasuk urut
kaki atau tangan yang lebih dikenali sebagai refleksologi untuk
mengembalikan kecergasan.

Refleksologi adalah seni pemulihan
semula jadi yang berasaskan kepada prinsip asas iaitu tangan, kaki dan
telinga dipercayai ada kaitan dan memberi gerak balas terhadap seluruh
anggota, kelenjar dan organ badan.

Mengurut sebenarnya memberi
tekanan kepada titik refleks dan urutan ini akan meredakan ketegangan
serta memperbaiki edaran darah yang secara tidak langsung merangsang
anggota berkenaan untuk berfungsi dengan baik. Orang zaman dulu
melakukan refleksologi dengan berjalan di atas batu kerikil atau
permukaan bumi yang kasar — untuk mengembali dan mengekalkan
keseimbangan badan.

Namun, dalam keadaan sekarang, kita boleh
lakukan sendiri refleksologi dengan berjalan berkaki ayam di atas batu
refleksologi yang banyak di pusat riadah dan rekreasi. Ada orang
mengaitkan kalau sakit berjalan di atas batu ini, tanda banyak
penyakit, tetapi kesahihan dakwaan ini masih belum dapat dipastikan.

Harus
diingat, refleksologi bukan kaedah untuk mengenalpasti atau mengubati
penyakit, tetapi ia mampu mengurangkan simptom dan meredakan kesakitan
mahupun ketidakselesaan fizikal disebabkan tekanan, trauma atau
penyakit.

Refleksologi adalah kaedah perubatan kuno yang
diamalkan di China, India dan Mesir sejak beribu-ribu tahun. Lukisan
dinding Mesir kuno yang dijumpai di Saqqara dalam piramid Ankhmahor
(doktor Mesir kuno) menunjukkan dua lelaki mengurut tangan dan kaki
lelaki lain. Malah, kaedah sama diamalkan penduduk asli Amerika Utara
dan semakin popular di Eropah dan Amerika Syarikat.

Apa kebaikan refleksologi?

Pertama,
ia boleh meredakan tekanan, sama ada disebabkan kerja, masalah peribadi
mahupun persekitaran. Tekanan yang tidak terkawal bukan saja merangsang
masalah fikiran, tetapi boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan
penyakit sedia ada semakin mudarat.

Kedua,
walaupun makin ramai mengamalkan pemakanan sihat dan memilih makanan
organik, tetapi masalah kesihatan tetap muncul. Malah, tidak ramai
berjaya mengekalkan corak pemakanan begini.

Kekurangan zat
tertentu dan kesan tekanan boleh mengganggu sistem pertahanan badan. Di
sinilah refleksologi dikatakan dapat membantu membenarkan badan
melakukan penyembuhan sendiri dan mengembalikan fungsi organ ke tahap
normal.

Ketiga, di samping menjalani
perubatan moden, ramai juga memilih rawatan alternatif untuk
mendapatkan kesihatan menyeluruh. Ubat tradisional Barat menjurus
kepada rawatan khusus untuk satu-satu penyakit atau simptom, sedangkan
refleksologi pula adalah kaedah penjagaan kesihatan yang tidak
menggunakan ubat. Ia hanya memerlukan teknik urutan untuk merangsang
mekanisma badan semula jadi untuk berfungsi dengan cekap.

Refleksologi
berasaskan kepercayaan setiap bahagian kaki adalah cermin kepada
anggota badan (kaki kiri untuk anggota belah kiri dan kaki kanan pula
menggambarkan anggota kanan badan). Contohnya, ibu jari dianggap cermin
kepada kepala dan tapak kaki pula adalah anggota badan.

Walaupun
refleksologi sesuai untuk semua peringkat umur dan kesihatan, tetapi
jika mengalami masalah darah beku atau luka pada tapak kaki, anda
disaran mendapatkan rawatan moden untuk mengatasinya terlebih dulu.

Antara soalan yang kerap diajukan mengenai refleksologi adalah :

Adakah ia menyakitkan?
Ia perlu dialami sendiri. Kali pertama mungkin sakit tetapi bak kata
orang, alah bisa tegal biasa. Refleksologi tidak menyakitkan, tetapi
boleh menyebabkan ketidakselesaan sedikit.

Bagaimana ia boleh menyegarkan seseorang?
Sebagaimana kaedah tradisional lain seperti urut, akupuntur, tai chi
dan ayurveda, refleksologi memberi kesan lebih kurang sama — boleh
merangsang tidur lebih nyenyak dan selera makan. Ini secara tidak
langsung dapat memberi tenaga kepada seseorang.

Ada yang
mendakwa refleksologi boleh membantu masalah sembelit. Bagaimana
perkara ini boleh berlaku tidak dapat diterangkan, tetapi ini antara
kriteria utama menyebabkan ramai pengusaha berlumba-lumba menghasilkan
mesin refleksologi elektrik.

Refleksologi bukan hanya pada kaki, ia juga boleh dilakukan pada tangan tetapi kaedah ini kurang popular.

Mengapa urut kaki lebih popular dan menyeronokkan?
Ada pengamal refleksologi mendakwa ia boleh memperbaiki mood kerana
bahagian otak yang berhubung dengan kaki terletak bersebelahan dengan
bahagian yang menghubungkan alat kelamin! Bagaimanapun, kesan
refleksologi berbeza antara individu. Jika anda mengalami masalah sakit
kaki, disarankan lebih baik supaya mendapatkan pemeriksaan doktor
terlebih dulu kerana ia mungkin disebabkan masalah lain.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...