Followers: Layan Terus . . .

My LB Adds

23.3.10



Pencen vs. KWSP


January 30, 2009 By: khairul-adibah Category: General



Kerajaan memberi peluang semula penjawat awam yang telah tersalah memilih Skim KWSP untuk ‘rujuk’ ke Skim Pencen. Pada asalanya keputusan tersebut adalah muktamad dan tidak boleh dipinda. Kini pintu telah terbuka. Jalan Pulang telah terbentang. Namun, apa-apa pun terpulanglah kepada semua untuk memilih skim pilihan mereka. Bagi saya dan Deb kami awal-awal lagi memilih Skim Pencen. Antara beberapa faktor yang menyumbang kepada keputusan itu ialah :



Kepastian tentang ganjaran masa akan datang. Dengan memilih skim pencen, kita akan dapat kepastian sebenar tentang jumlah pencen bulanan yang akan diterima setiap bulan apabila bersara pada umur 56 tahun nanti. Jumlahnya adalah lebih kurang separuh dari gaji terakhir perkhidmatan, insyaAllah ia adalah cukup untuk meneruskan saki baki kehidupan sebelum kembali kepada Pencipta Yang Maha Esa.

Pencen bulanan ini bukan sahaja akan dinikmati oleh penjawat awam yang memilih skim pencen, namun pencen terbitan juga akan dinikmati oleh ahli keluarga yang layak.

Ganjaran perkhidmatan juga agak besar jumlahnya. Tambahan kami mula berkhidmat dengan kerajaan sejak usia muda lagi. Jumlah ganjaran perkhidmatan ini bergantung kepada tempoh perkhidmatan dan gaji akhir. Jadi semakin lama, berkhidmat dengan kerajaan, semakin besarlah jumlahnya.

Tiada caruman yang perlu dipotong setiap bulan juga faktor yang menjadikan kami tertarik untuk memilih skim ini. Di usia muda inilah kita memerlukan wang untuk membeli rumah, kereta, asset lain dan juga kos membesarkan anak-anak dan sebagainya. Jadi sekiranya, jumlah gaji dipotong setiap bulan sebanyak 11% atau 12%, apa yang masih tinggal untuk dibelanjakan. Jika saya memilih skim KWSP, jumlah wang terkumpul tersebut akan hanya boleh dibelanjakan selepas bersara. Ketika itu, anak-anak pun sudah besar dan berdikari. Keperluan kewangan tidak meruncing seperti ketika mereka kecil atau bersekolah / universiti. Ketika saya bersara pada umur 56 tahun nanti, Najmi ketika itu berusia 31 tahun, Ainul 29 tahun dan Imran 28 tahun. Saya gambarkan bahawa mereka sudah menamatkan ijazah pertama masing-masing.

Saya seorang yang ‘conservative’, jadi saya memilih skim pencen. Saya tidak mahu terlampau optimis dan berangan-angan bahawa KWSP akan mendapat keuntungan 8-10% setahun. Keuntungan dari pelaburan-pelaburang di Bursa Malaysia sentiasa tidak menentu seperti mana ekonomi negara. Sekejap kukuh, lepas tu merudum (1997-1998), baru nak naik dan kini timbul lagi cabaran kegawatan global. Jadi persoalan mampukah KWSP mendapat pulangan yang sewajarnya dari pelaburan mereka, pasti sentiasa menjadi tanda -tanya pencarumnya.

Selain itu ada juga faedah lain seperti faedah perubatan percuma dari hospital dan faedah kematian. Selain itu pegawai pencen juga dapat menerima semakin pencen mengikut semakan gaji yang diterima oleh kakitangan awam yang lain.

Namun begitu, penjawat awam yang memilih KWSP ada juga kelebihannya. Mereka bebas untuk bekerja dengan mana-mana majikan. Sebagai contoh, Jika mereka mendapat peluang yang lebih baik di tempat lain, seperti swasta atau jabatan lain, mereka boleh meletak jawatan dan masih menikmati jumlah wang caruman mereka.



Kesimpulannya, kedua-dua skim ini ada kelebihan yang tersendiri. Cuma bagi kami, skim pencen lebih sesuai bagi kami. Mungkin bagi setengah yang lain skim KWSP yang lebih baik. Tepuk dada, tanyalah iman..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...