Followers: Layan Terus . . .

My LB Adds

26.1.11

Stres mungkin baik untuk anda






BARU-BARU ini seorang ibu membawa anak lelakinya yang berusia tujuh tahun menemui doktor pakar setelah anaknya mengalami demam yang berpanjangan sejak memasuki tahun satu sekolah rendah pada 5 Jan lepas. Sebelum ini, doktor yang merawat budak lelaki tersebut telah menyatakan bahawa dia bebas daripada penyakit yang serius.
“Setiap kali saya bawa anak ke klinik atau hospital, mereka (doktor) hanya bagi ubat untuk demam. Ujian darah pula menunjukkan tiada apa-apa penyakit”, ibu tersebut, yang hanya mahu dikenali sebagai Rahimah, memberitahu penulis di sini baru-baru ini.
“Anak anda adalah normal. Mungkin dia stres kerana masih belum dapat menyesuaikan diri di persekitaran baru sekolah”, itulah antara kata-kata oleh pakar kanak-kanak tersebut kepada Rahimah semasa sesi rawatan di kliniknya.
APA ITU stres?
Menurut Dr. Hans Selye, pengasas teori stres, stres merupakan satu gejala tindak balas yang tidak spesifik oleh individu terhadap beban yang datang dalam bentuk keresahan yang disebabkan cabaran, ancaman atau perubahan yang memerlukan respon.
Bertentangan dengan persepsi ramai orang, stres boleh dibahagi kepada stres yang baik atau positif yang dikenali sebagai eustress dan yang buruk atau negatif distress.
Pegawai perubatan di sebuah institusi kesihatan di ibu negara, Dr. S. Mogan berkata, stres yang positif boleh membuatkan seseorang lebih berhati-hati, fokus dan kreatif dalam kehidupan harian.
Menurut sejarah, Alexander Graham Bell mencipta telefon, alat yang mencetus revolusi dalam bidang perhubungan, ketika ingin membantu tunang beliau yang telah hilang pendengaran.
Sukar untuk didefinisi
 
Kata Dr. Mogan, memang sukar untuk memberi definisi mengenai stres kerana ia suatu aspek yang subjektif.
“Kalau anda tanya 10 orang tentang apa yang sebabkan mereka rasa stres, maka anda akan mendapat 10 jawapan yang berlainan.
“Sebabnya tiada definisi tentang stres yang dipersetujui semua, apa yang stres bagi seseorang mungkin perkara yang menyeronokkan atau tiada apa-apa bagi orang lain.
“Contohnya, penunggang motosikal akan berasa gembira bila dapat memecut kenderaan mereka manakala ini perkara yang menakutkan bagi orang lain. Menang dalam perlumbaan mungkin lebih stres daripada kalah tapi ini merupakan stres yang baik”, kata kepada Bernama.
Menurut pendidik Fatimah Mansur, stres melonjakkan produktiviti seperti bila pelajar menghadapi peperiksaan.
“Pelajar berusaha dengan lebih keras bila peperiksaan telah hampir manakala pekerja di pejabat bekerja dengan lebih cepat bila waktu pulang sudah dekat", kata beliau.
Fatimah berkata, orang ramai perlu mendapat stres yang sesuai untuk produktif dalam kehidupan seharian.
“Anda boleh guna dan gembleng stres untuk menjadi lebih produktif,” kata Fatimah lagi.
Risalah Kementerian Kesihatan
 
Menurut risalah yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, antara punca stres ialah beban kewangan, masalah rumah tangga, menunggu terlalu lama, mangsa buli, beban kerja yang tinggi, suasana persekitaran yang tidak sihat, rasa rendah diri, kesesakan jalan raya, serta tragedi.
Seseorang yang mengalami stres akan menunjukkan kegelisahan, risau keterlaluan dan gangguan emosi, insomnia (tidak dapat tidur), kurang fokus dan tumpuan kerja serta resah dan cepat marah.
Mereka digalakkan mengambil 10 langkah ‘B’ iaitu bertenang, bernafas dengan dalam, berkata ‘relakslah’, beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam dan berfikiran positif.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...