Followers: Layan Terus . . .

My LB Adds

15.4.11

Bipolar Disorder - sumber: Rakan Net



PERNAHKAH anda tiba-tiba terlalu gembira dan tidak dapat mengawal keghairahan berbelanja sehingga melebihi kemampuan? Kegembiraan keterlaluan atau ‘mania’ yang tergolong dalam gangguan mental bipolar boleh mengundang pelbagai masalah kepada pesakit sehingga mengakibatkan sesetengahnya bertindak agresif tanpa disedari.

Gangguan dwikutub atau bipolar adalah sejenis gangguan otak yang menyebabkan perubahan luar biasa pada emosi, tenaga dan keupayaan seseorang. Ia berbeza dengan rasa ‘tiada mood’ yang dialami kebanyakan orang kerana gangguan ini dianggap masalah serius dan boleh menjejaskan hubungan, prestasi kerja dan pelajaran.

Mania dan kemurungan menyebabkan seseorang pesakit hilang rasional berfikir. Ia biasanya berlaku pada penghujung umur remaja dan awal dewasa. Bagaimanapun, masalah mania ini juga boleh membabitkan orang lebih tua dan kanak-kanak.

Punca sebenar gangguan bipolar masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi saintis percaya gangguan bipolar disebabkan pelbagai faktor yang bertindak bersama mencetuskan masalah pada otak. Antara faktornya ialah keturunan. Individu yang ada sejarah keluarga mengalami gangguan bipolar mempunyai risiko tinggi mendapat masalah ini.

Gangguan bipolar menyebabkan perubahan emosi berepisod, iaitu daripada terlalu gembira kepada sedih dan hilang semangat; kemudian gembira semula di antara emosi ‘normal’. Perubahan emosi ini selalunya diikuti perubahan tenaga dan kelakuan. Keadaan berubah-ubah antara terlalu gembira dan sedih dipanggil episod mania dan kemurungan.

Bagaimanapun, masalah ini sukar dikesan kerana pesakit biasanya tampak gembira dan progresif. Dua sifat positif ini secara tidak langsung melindungi masalah sebenar yang dihadapi pesakit, sedangkan mereka juga mengalami pelbagai gejala kemurungan yang berulang.

Pakar Psikiatri Forensik, Dr Badi’ah Yahya, berkata masalah ini yang semakin menular di kalangan masyarakat, terutama golongan dewasa, tidak boleh dipandang ringan bagi mengelak ia menjadi bertambah serius.

Katanya, walaupun gangguan ini sukar dikesan, pesakit perlu diberi rawatan dengan mendapatkan khidmat kaunseling pakar psikologi atau perubatan sesuai kerana jika dibiarkan, lama kelamaan ia menjejaskan kesihatan mental.

Malangnya, beliau berkata, kebanyakan pihak menganggap gangguan mania sebagai sesuatu yang positif kerana membuatkan mereka aktif dan gembira melayan perasaan sendiri. Yang membimbangkan, keadaan itu boleh membuatkan seseorang tidak dapat mengawal pemikiran, sekali gus mempengaruhi tingkah laku masing-masing sehingga menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Gangguan mania yang menjejaskan otak boleh mempengaruhi perasaan seseorang dan pada masa sama individu terbabit akan mempamerkan tindakan drastik. Ia berikutan keupayaan seseorang individu yang mengalami mania meningkat mendadak sehingga mengakibatkan mereka terlalu gembira dan ada di dunia sendiri.

“Selain terlalu gembira, individu yang mengalami gangguan bipolar boleh ‘diserang’ kemurungan. Mereka sering kelihatan sedih, mudah putus asa dan lebih suka menyendiri. Malah, mereka juga hilang minat untuk melakukan kegiatan digemari,” katanya.

Secara umumnya gejala gangguan bipolar dibahagikan kepada dua iaitu mania dan kemurungan.

Ada kalanya episod mania dan kemurungan yang serius turut mempunyai simptom psikosis seperti halusinasi (mendengar suara ghaib) atau delusi (mempercayai perkara yang tidak wujud). Keadaan ini timbul apabila pesakit dalam keadaan ekstrem. Oleh kerana pesakit turut menunjukkan gejala psikosis, mereka sering disalah anggap mengalami skizofrenia.

Seseorang pesakit boleh mengalami beberapa gejala pada satu masa. Mereka mungkin menghadapi masalah sukar tidur, selera makan berubah, resah, psikosis dan ada fikiran mahu membunuh diri. Mereka mungkin sangat sedih dan tidak berguna, tetapi pada masa sama pesakit berasakan sangat bertenaga.

Walaupun gangguan bipolar kerap berlaku pada peringkat awal dewasa, ia boleh melanda kanak-kanak. Kanak-kanak yang mengalami gangguan bipolar menunjukkan perubahan emosi ketara antara riang dan murung dalam masa sehari. Mereka lebih mudah terganggu dan cenderung menunjukkan sikap pemarah daripada sikap riang.

Dr Badi’ah berkata, pesakit juga lebih cenderung untuk hilang minat terhadap apa jua aktiviti dilakukan. Sebaliknya mereka lebih gemar menyendiri dan kurang selesa dengan kehidupan dijalani.

Tumpuan pesakit juga merosot dan sukar membuat keputusan. Gejala seperti ini akhirnya menjejaskan kualiti hidup pesakit, manakala prestasi kerja atau pelajaran turut merosot.

Diagnosis gangguan bipolar dibuat berdasarkan gejala yang ditunjukkan, punca, bila berlaku dan sejarah keluarga. Dalam hal ini, keluarga perlu bersikap lebih prihatin dan jika ada anggota keluarga mula menunjukkan gejala itu, segera dapatkan rawatan.

Ini kerana jika kemurungan dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh menjadi serius sehingga menimbulkan keinginan membunuh diri. Jika ada ahli keluarga berkata dia mahu membunuh diri, jangan dipandang ringan kata-katanya kerana ia petanda penting kepada masalah dalaman yang melanda dalam diri pesakit.

Gejala mania dan kemurungan boleh berulang bila-bila masa. Di antara waktu serangan ini, kebanyakan pesakit bebas daripada gejala. Pesakit gangguan bipolar boleh menjalani kehidupan sihat dan produktif seperti orang lain dengan syarat mendapat rawatan sewajarnya. Tanpa rawatan, gangguan mental akan bertambah buruk dan episod mania-kemurungan lebih kerap berulang.

“Bagaimanapun, gangguan itu boleh dirawat dengan pelbagai cara jika pesakit, keluarga mahupun masyarakat di sekitar mereka bekerjasama. Yang penting, mereka perlu mendapatkan rawatan perubatan selepas menjalani pemeriksaan doktor, kaunseling psikologi dan memberi peluang kepada diri untuk memperbaiki keadaan,” katanya.

Rawatan berterusan akan memberi kesan lebih baik kepada pesakit berbanding rawatan sekali sekala. Pun begitu, walaupun menjalani rawatan berterusan, pesakit masih boleh mengalami perubahan emosi dan jika ini berlaku, ahli keluarga perlu segera melaporkannya kepada doktor.

Pada masa sama, ahli keluarga perlu banyak bersabar dan memainkan fungsi penting untuk membantu pesakit. Mereka memerlukan sokongan berterusan dan penjaga yang sentiasa bersedia membawa pesakit mendapatkan rawatan. Antara cara yang boleh dilakukan ialah menyertai kumpulan sokongan bagi masalah berkenaan.

Gejala mania

> Tenaga meningkat dan boleh melakukan banyak aktiviti.
> Terlalu gembira atau sedih.
> Sangat mudah resah.
> Berfikir dan bercakap cepat, idea berubah-ubah.
> Sangat sukar menumpukan perhatian.
> Sukar tidur dan berasakan tidur sekejap mencukupi.
> Percaya kepada perkara tidak realistik seperti kebolehan seseorang.
> Lemah pertimbangan.
> Suka berbelanja besar.
> Perubahan kelakuan yang berpanjangan.
> Nafsu seks meningkat.
> Menyalahgunakan dadah, alkohol dan ubat tidur.
> Sentiasa menafikan dirinya bermasalah.

Gejala kemurungan

> Kesedihan, keresahan dan rasa kosong yang berpanjangan.
> Rasa tidak berguna dan pesimis.
> Rasa bersalah dan tidak berdaya.
> Hilang minat pada aktiviti digemari, termasuk seks.
> Rasa tidak bertenaga dan cepat penat.
> Sukar menumpukan perhatian.
> Sukar mengingat dan membuat keputusan.
> Mudah resah dan terganggu.
> Tidur terlalu banyak atau tidak boleh tidur.
> Selera berubah (berat badan bertambah atau menurun tanpa disedari).
> Sentiasa sakit (bukan disebabkan kecederaan fizikal).
> Ada keinginan hendak membunuh diri

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...