Followers: Layan Terus . . .

My LB Adds

19.10.11

Belia Belaga di Kuching diseru bersatu, bantu majukan negeri



Baca disini
Posted on October 17, 2011, Monday
KUCHING: Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Liwan Lagang menggesa belia yang berasal dari Belaga dan kini tinggal di Kuching supaya bersatu dengan satu sama lain untuk sama-sama membantu dalam usaha memajukan negeri ini.
Menurutnya, kebanyakan golongan belia dari Belaga datang ke Kuching untuk melanjutkan pelajaran dan mencari pekerjaan yang ditawarkan di sini.
“Kita datang dari jauh ke bandar raya Kuching untuk membina kehidupan dan oleh sebab itu, kita wajar bersatu supaya bangsa kita yang kecil dapat menyumbang kepada pembangunan negeri ini.
“Belia kita patut terus menimba ilmu dan menuntut kemahiran selain menganjurkan lebih banyak lagi kegiatan yang boleh membuka pemikiran kita kepada kemajuan negeri kita yang semakin pesat,” katanya.
Tambahnya, golongan belia bakal menjadi ketua-ketua yang akan memimpin kemajuan bangsa seiring dengan bangsa-bangsa lain.
Liwan berkata demikian pada majlis sambutan Ulang Tahun Pertama Kelab Belia Belaga Sarawak (KBBS) di sebuah hotel di sini malam kelmarin.
Beliau turut meminta ahli-ahli KBBS memikirkan perkara-perkara baik atau buruk yang selalu dikemukakan oleh akhbar-akhbar mengenai isu-isu yang sering berlaku di daerah Belaga.
“Belaga adalah daerah yang amat dikenali sekarang ekoran pembinaan Empangan Bakun dan Empang Murum.
“Banyak perkara yang dikeluarkan oleh akhbar selama ini dan kita yang berasal dari Belaga patut tahu membezakan perkara yang betul atau salah,” katanya.
Jelasnya, golongan belia Belaga patut mengambil kesempatan dan peluang daripada pembinaan empangan tersebut dan melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran supaya sama-sama mendapat keuntungan daripada kemajuan itu.
Sementara itu dalam majlis berkenaan, Presiden KBBS Romio Ding turut meminta kerajaan mengambil berat tentang golongan belia yang berasal dari Belaga dan memberi peluang kepada mereka untuk berniaga di dua pusat empangan berkenaan.
“Projek yang dirancang di dua pusat empangan itu patut menarik dan mengutamakan anak jati Belaga terutama golongan belia supaya mereka dapat memperolehi pendapatan yang boleh meningkatkan lagi ekonomi seisi rumah,” katanya.
KBBS telah didaftar secara rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan pada Oktober 2010 dan majlis makan malam yang dianjurkan pada malam itu adalah bagi memperingati ulang tahun pertama penubuhan kelab tersebut.
Majlis pada malam itu turut menyaksikan penyampaian sijil bantuan kewangan daripada Amanah Bakun kepada pelajar yang menerima biasiswa bagi tahun 2011.
Turut hadir Pengerusi Penganjur Majlis Samuel Batok dan ahli-ahli jawatankuasa eksekutif KBBS.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...